Mukasurat Extra

Terjalinnya Ikatan..

Daisypath Anniversary tickers

Jom Main klik-klik-klik

Followers

Friday, November 9, 2012

Ibu Bapa Wajib Dihormati...

Mak, Saya, Hanaan(anak sedara)

Abah - Al - Fatihah


Apabila kita mengalami kesusahan, ibu bapa kitalah orang pertama yang kita cari. Jika kita berada dalam kesedihan, ibu bapa jugalah yang akan dicari. Begitulah istimewanya hubungan anak dan ibu bapa dalam ikatan semulajadi yang dianugerahkan oleh Allah SWT.
Segala jasa dan pengorbanan yang ibu bapa curahkan sejak kita kecil sehingga besar adalah tidak ternilai. Malah, jika difikirkan, sebelum kita dilahirkan lagi ibu bapa telah bertungkus lumus mencari rezeki untuk memastikan kita dapat membesar dengan sihat dan selesa setelah dilahirkan.
Bukan itu sahaja, ibu dengan rela hati menggadaikan nyawa melahirkan kita. Setelah dilahirkan, ayah dengan perasaan penuh syukur dan gembira mendukung kita.
Sewaktu kita sedang membesar, ibu bapalah yang paling bahagia melihat kita mengecapi kejayaan walau sekecil mana pun kejayaan kita itu. Contohnya, ketika kita berjaya menuturkan perkataan pertama kita seperti, "Ma", mereka dengan perasaan penuh gembira mengkhabarkan berita itu kepada sanak saudara dan sahabat handai mereka.
Merekalah juga yang memimpin kita dengan penuh sabar semasa kita mengatur langkah-langkah pertama kita. Mereka yang mengangkat dan membasuh luka kita apabila kita tersungkur. Mereka juga sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan kita.
Islam amat menitikberatkan umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Allah SWT telah menyatakan betapa pentingnya kita sebagai anak menjaga hubungan baik dengan ibu bapa di dalam Al-Qur'an;
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)."
(Surah Al-Ahqaaf, ayat 15)
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu..."
(Surah Al-Israa', ayat 23 dan 24)
Allah SWT menegaskan kepentingan berbuat baik kepada ibu bapa dalam beberapa ayat Al-Qur'an yang lain:
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua IBU BAPA, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya)."
(Surah Al-Baqarah, ayat 215)
"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua IBU BAPA, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;"
(Surah An-Nisaa', ayat 36)
Oleh sebab itu, seorang anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ia merupakan penghormatan tertinggi daripada anak dalam membalas jasa ibu bapa mereka.
Tanggungjawab berbuat baik kepada ibu bapa juga tidak terhenti selepas mereka meninggal dunia. Anak masih boleh berdoa supaya ibu bapa mendapat keampunan daripada Allah. Allah SWT berfirman, maksudnya;
"...dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." 
(Surah Al-Israa', ayat 24)
Selain itu, setelah ibu bapa meninggal dunia, anak perlu melaksanakan wasiat mereka seperti membayar hutang (jika ada) dan berbuat baik kepada sahabat mereka. Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah SAW menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: "Ada, iaitu berdoa, beristighafar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Kesimpulannya, menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa merupakan amalan yang berterusan. Kasihi, hormati dan bantulah mereka semasa mereka masih hidup serta doakan mereka setelah mereka meninggal dunia. Tanpa redha mereka, kita tidak akan mengecapi redha Allah. Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud, "Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa." (Riwayat al-Hakim)


p/s: Membina keluarga bukannya mudah..

No comments:

Post a Comment

Tak perlu Disangkal lagi..

Pink Diamond), url(Pink Diamond), auto;}