Saya Pun Budak Kampung
www.iluvislam.com
oleh: aman shah
Editor: deynarashid
www.iluvislam.com
oleh: aman shah
Editor: deynarashid
"Saya pun budak kampung, pun boleh berjaya, anda bila lagi?" - Zulkifli b Aziz; Usahawan Hai-O
Biasa dengarkan dengan iklan Hai-O di atas tu? Alhamdulillah. Apabila iklannya sudah menjangkau ke iklan, makin lebarlah kata-kata usahawan Hai-O lepas ini. Makin berleluasalah projek MLM Hai-O ini.
Walau bagaimanapun, fokus saya ialah istilah 'budak kampung'. Tidak tahulah, apa yang dipandang oleh saudara berkenaan. Apa salahnya budak kampung? Adakah budak kampung diketegorikan sebagai second class di Malaysia ini? Kalau yang berjaya, hanya di pundak orang-orang bandar?
Sikap Menentukan Siapa Kita
Sikap adalah sesuatu yang dipelajari melalui pengamatan, pendengaran dan pengalaman. Dengan kata lain, sikap adalah tindakan dan tingkahlaku diri berlandaskan cara fikirseseorang individu.
Dua orang yang mempunyai cara fikir yang berbeza akan bertindakbalas secara berbeza juga terhadap sesuatu peristiwa atau persekitaran. Cara fikir mengubah tingkah laku seseorang dan mempengaruhi sikap seseorang.
Cara fikir sebenarnya sesuatu yang dipelajari dan ditiru melalui sumber-sumber seperti:
- Orang sekeliling - Ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan, idola
- Pengaruh media - TV, radio, internet
- Bahan bacaan - novel, majalah, akhbar, buku-buku.
- Persekitaran - Agama, bangsa, kebudayaan
- Peristiwa silam - besar atau kecil
Sebab itulah ada pepatah yang mengatakan bapa borek anak rintek. Kalau bapa jenis panas baran maka anaknya berkemungkinan juga demikian.
Tetapi tidak pula semua anak berkelakuan serupa seperti bapa. Mungkin anak yang lain pula cukup mengkagumi gurunya dan kebetulan pula guru seorang yang penyabar maka sikap sabar ini mempengaruhi anak.
Maka sikap panas baran bapa tidak ditiru oleh anak ini kerana dia dapat menilai bahawa sikap itu tidak menguntungkan sesiapa.
Sebaliknya, pengaruh guru lebih besar atas diri anak ini dalam dalam pembentukan sikapnya. Jadi seorang anak membesar dengan meniru tingkah laku orang lain.
Sikap-sikap negatifnya mungkin diperolehi daripada gabungan pelbagai sumber. Pemarah macam ayah, boros macam emak, malas macam abang, pakaian macam artis, buang masa macam rakan-rakan dan sebagainya.
Begitu juga dengan sikap positifnya juga ditiru dari orang lain. Berani macam ayah, bercakap benar macam emak, suka mencuba macam abang, gigih macam artis pujaan dan hormat ibu bapa macam rakan.
Satu kelemahan otak ialah ia menerima segala maklumat yang dilihat, dirasa dan didengar ini, tanpa sekatan sama ada positif atau negatif.
Apabila mesej yang sama diterima berulang-ulangkali maka sedikit sebanyak mula terbentuk kepercayaan dalam diri bahawa tidak salah untuk menerima pakai atau meniru cara orang lain ini.
Keadaan ini berlaku diluar kesedaran seseorang. Ia berlaku dalam tempoh masa yang panjang sebelum menjadi lazim dalam pemikiran. Setelah ia menjadi kebiasaan segala tindak balas kita menjadi spontan dan kerap kali tindakan kita diluar kawalan diri.
Bolehkah sikap diubah?
Sikap yang negatif boleh diubah kepada positif hampir serta merta.
Misalnya anda membonceng motosikal rakan. Rakan anda membawa motosikal dengan laju dan gopoh-gapah. Anda tumpang seronok. Akibatnya berlaku kemalangan dan rakan anda mati ditempat kejadian. Ketika itu juga anda berkemungkinan besar mula mengubah sikap anda apabila membawa motosikal.
Walaupun ia berlaku hanya sekali dalam kehidupan, tetapi pengalaman tersebut cukup menyakitkan dan menyedihkan. Ia mengubah cara fikir anda serta merta.
Sikap anda juga berubah serta merta. Satu peristiwa mengubah segalanya.
Sebenarnya untuk berubah anda tidak memerlukan masa yang panjang. Masa yang panjang sebenarnya untuk kita mengumpul maklumat dan membina keyakinan serta kepercayaan sememangnya perubahan diri itu sesuatu yang mesti dilakukan.
Setelah anda membuat keputusan tentang perlunya berubah maka perubahan berlaku serta merta. Masa yang panjang ini sebenarnya boleh disingkatkan dengan syarat anda mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk menyokong kepercayaan anda untuk berubah itu sekarang.
Anda perlu mendapatkan maklumat dari orang yang boleh memberikannya kepada anda. Ramai yang tidak menyedari bahawa sikap ibarat pakaian yang boleh dipilih untuk disarungkan kebadan. Bagaimana mudahnya menukar pakaian begitu juga mudahnya mengubah sikap. Dengan syarat tahu rahsia dan kaedahnya.
Untuk berubah sikap, setiap kepercayaan dan pegangan hidup yang negatif perlu digugat, dicabar, dibenci dan kemudiannya digantikan dengan alternatif yang baru. Proses ini lebih mudah dilakukan sekiranya dibantu oleh seseorang yang pakar dalam bidangnya.
Perhatikan sejenak, adakah sikap anda selama ini membolehkan anda menggunakan sepenuhnya potensi diri yang ada pada diri anda?
Setiap kali guru memberikan markah ujian, cuba tanyakan diri anda, adakah ini yang terbaik boleh dilakukan oleh anda? Kalau tidak, apa yang menghalang anda melakukan yang terbaik? Tiada yang menghalang kecuali diri anda sendiri.
Kalau anda tidak mengubah sikap dan cara fikir anda sekarang, anda juga pastinya mencapai sesuatu yang serupa 5 - 10 tahun yang akan datang. Yang berubah ketika itu mungkin lokasi anda, rakan-rakan anda dan fizikal luaran anda tetapi dalamnya tetap sama.
Kalau sekarang anda gagal di sekolah maka 5-10 tahun akan datang anda bakal gagal pula di alam pekerjaan. Sebab itulah anda perlu berubah, dan perubahan itu perlu dilakukan sekarang!
Sesungguhnya benarlah perintah Tuhan, “…sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka….” (Ar-Ra’du:11)
Kesimpulan
Maka, dalam menentukan erti kejayaan itu sebenar, semuanya bergantung kepada kita. Sejauh mana sikap kita menentukan kejayaan kita itu. Terpulanglah kepada diri kita sendiri menentukan arah dan tingkat kejayaan kita!
No comments:
Post a Comment