FATWA MALAYSIA TENTANG BOMOH DAN SIHIR
http://klinik-muallij.blogspot.com/2010/08/fatwa-malaysia-tentang-bomoh-dan-sihir.html
Amalan Ilmu Hitam/sihir
Tarikh Keputusan : 11 Oct, 1993
Tarikh Mula Muzakarah : 11 Oct, 1993
Tarikh Akhir Muzakarah : 11 Oct, 1993
Oleh : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-33
Keputusan
a) Perbuatan sihir adalah dosa besar dan boleh
membawa kepada syirik dan hukum mempelajarinya adalah haram.
b) Pengamal sihir yang mendatangkan mudharat kepada manusia adalah berdosa besar dan pelaku jenayah, maka wajib dihukum qisas/hudud.
c) Pihak berkaitan hendaklah menyediakan peruntukan undang-undang bagi menghukum pengamal-pengamal yang sabit melakukan sihir.
Bersahabat Dengan Jin
Akidah
Huraian Tajuk/Isu:
Fatwa berikut yang dibuat oleh Mufti Negeri di bawah subseksyen 36 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 39 (6) Enakmen itu adalah disiarkan menurut subseksyen 36(2) Enakmen itu:
Keputusan:
1. Bersahabat dengan jin untuk tujuan mendapatkan pertolongan dalam perkara yang ditegah oleh syarak adalah haram.
2. Meminta pertolongan jin dalam rawatan perubatan sehingga membawa kepada syirik adalah haram.
3. Meminta pertolongan jin untuk mencari kekuatan dan kehebatan adalah haram.
4. Meminta dan menggunakan khidmat jin untuk ilmu sihir dan nujum adalah haram.
Status Penwartaan: Diwartakan
Nombor Rujukan: M.U.I.Phg. 2/116/2.
Akta/Enakmen: Enakmen 3/91
Penggunaan Jin Menurut Islam
Tarikh Keputusan : 21 Aug, 1995
Tarikh Mula Muzakarah : 21 Aug, 1995
Tarikh Akhir Muzakarah : 21 Aug, 1995
Oleh : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke 39
Keputusan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mengambil keputusan seperti berikut:
i. Bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam perkara yang ditegah oleh syarak adalah haram.
ii. Meminta pertolongan jin dalam rawatan perubatan sehingga membawa kepada syirik adalah haram.
iii.Meminta pertolongan jin untuk mencari kekuatan dan kehebatan adalah haram.
iv. Meminta dan menggunakan khidmat jin untuk ilmu sihir atau nujum adalah haram.
Khurafat Dan Azimat Menurut Perspektif Islam
Tarikh Keputusan : 9 Aug, 1996
Tarikh Mula Muzakarah : 9 Aug, 1996
Tarikh Akhir Muzakarah : 9 Aug, 1996
Oleh : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-40
Keputusan
Muzakarah bersetuju dengan garis panduan yang
telah disediakan untuk dijadikan panduan kepada orang ramai :
a. Khurafat ialah semua cerita atau rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Khurafat juga merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut atau dusta.
b. Azimat ialah satu bentuk permohonan untuk mendapatkan pertolongan atau bantuan bagi manfaat diri sendiri atau untuk memudharatkan orang lain dengan menggunakan objek-objek dan ayat-ayat tertentu yang dianggap mempunyai kesaktian dan kuasa ghaib yang melampaui kekuatan semula jadi apabila dijampi atau dipuja.
c. Islam sangat menitikberatkan soal akidah dan syariat. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber yang asal seperti al-Quran, hadith, ijmak dan qias adalah ditolak oleh Islam.
d. Amalan memuja dan memohon pertolongan darinya seperti yang selalu dilakukan oleh setengah bomoh dan dukun adalah syirik dan menyesatkan orang-orang yang bersahabat dan menggunakan jin dan tukang sihir dan tukang tenung adalah tergolong di dalam golongan orang-orang yang bodoh dan menzalimi diri sendiri.
e. Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam.
Kesan Perbomohan Meragukan Di Gunung Ledang Tangkak Muar
Akidah
Huraian Tajuk/Isu:
Adakah upacara perbomohan tersebut di atas bertentangan dengan akidah, syariat, serta akhlak perubatan Islam yang sebenar atau sebaliknya?
Keputusan:
Keputusan Fatwa :
Setelah diteliti dari setiap sudut dan aspek, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 12 Rabiul Akhir 1422 bersamaan 4 Julai 2001 telah membuat keputusan seperti berikut:
Alhamdulillah fatwanya,
"Upacara pembomohan yang dilakukan di Gunung Ledang oleh bomoh tersebut adalah jelas bertentangan dengan akidah dan akhlak perubatan Islam." Ini berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:
a) Penyelewengan akidah
i. Proses memanggil roh-roh, jin-jin, atau perewang bagi mengubati pesakitnya. Ini bercanggah dengan Al-Quran surah Al-Jin ayat 6 yang bermaksud:
'Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan Jin. Kerana dengan permintaan itu menjadikan golongan Jin bertambah sombong dan jahat'
Amalan ini juga bercanggah dengan A-quran surah Al-Fatihah ayat 5 yang bermaksud:
" Engkau sahaja ( Ya allah ) yang kami sembah, dan kepada engkau sahaja kami memohon pertolongan."
ii. Peresapan makhluk halus ke dalam tubuh tersebut atau dikenali dengan istilah sebagai "menurun". Perbuatan ini berasal dari pengaruh animisme mempercayai wujudnya "super power" lain selain dari Allah S.W.T. Perbuatan ini adalah syirik. Ia bercanggah dengan Al-Quran surah yusof ayat 106 yang bermaksud:
'Dan janganlah engkau ( wahai Muhammad ) menyembah atau memuja yang lain selain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh yang demikian jika engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang yang berlaku zalim ( terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu ).'
b) Bertentangan dengan Akhlak perubatan Islam.
i. Ada unsur khurafat serta tahyul seperti mempercayai sebuah kolam yang bergelar "kolam nenek" yang boleh memulihkan segala jenis penyakit.
ii. Ada unsur dakwaan palsu dengan mengistiharkan bahawa beliau mengetahui peristiwa atau perkara di luar pengetahuan manusia seperti kolam nenek dijaga oleh Nabi Khidir, kesemua perbuatan yang yang mendampingi beliau adalah para nabi dan orang soleh yang hidup di alam ghaib dan belum mati lagi, begitu juga mengatakan bahawa nenek kebayan adalah Siti Hawa isteri Nabi Adam a.s.
c) Upacara perbomohan yang diketuai oleh bomoh tersebut adalah sesat dan menyesatkan.
Oleh yang demikian, sesiapa yang mengamal atau mengajar atau menghurai atau Oleh yang demikian, sesiapa yang mengamalkan atau mengajar atau menghurai atau menyeru atau menyebar atau bersubahat dengan apa-apa cara jua pun akan upacara pembomohan, bomoh tersebut adalah melakukan kesalahan.
Status Penwartaan: Tidak Diwartakan
p/s: Kita punya akal untuk membezakan yang mana benar, yang mana salah.. Kita ada pilihan untuk tujuan dan jalan kehidupan.. Marilah kita sentiasa berdoa agar tidak dipesongkan hati kita ke arah yg sesat.. Amin.
tata
No comments:
Post a Comment