Mukasurat Extra

Terjalinnya Ikatan..

Daisypath Anniversary tickers

Jom Main klik-klik-klik

Followers

Tuesday, November 10, 2009

SepiNtAs KenANgaN..


"Pergilah balik. Abah ok je ni. Hospital ni pun bagus."

"Bang, ngah nak pekse dah minggu depan."

"Peksa apa? Ala.. Baca jela buku.."

"laa..lupa lagi la tu.. ngah kan nak SPM dah minggu depan ni.. Lepas ni lambatla dia nak datang sini lagi.."

"oo.. Abah lupa.."

Secebis kenangan terakhir daku bersama abah, yang telah pergi selamanya 8 tahun lalu, tepat tanggal 6 November 2001.. Kala itu, daku pergi melawat ayahanda tercinta di Hospital Besar Kuala Lumpur. Berkongsi pengalaman dengan ibunda tidur di dalam wad yang telah dihuni selama hampir 3 bulan.. bilik wad yang dihuni bersama 3 pesakit lain yang silih berganti menjadi saksi ketaatan seorang isteri yang menjaga suami hingga akhir hayatnya.. Bilik yang menjadi saksi ketaatan seorang anak yang sedang berhempas pulas menghadapi peperiksaan akhir semester di UIA sambil menjalankan kewajipan menjaga ayah dan membantu ibundanya..

Ya.. Tiap kali tarikh itu menjengah ruang kalendar, tiap kali itu kenangan yang menghiris hati itu kembali terpampang di ruangan mata.. Kehadirannya bukan sekejap, namun terus berterusan, sehingga air mata yang ditakung kering dalam diam.. Bukannya kenangan itu hapus di tarikh yang lain, namun hati waja yang dimiliku tega menyembunyikan kedukaan di sebalik senyum tawa dan pengalaman seharian yang mewarnai hidupku..

"Ngah, jom kita balik Chenor jap. Malam kang makteh anta ngah balik semula. Kita tengok abah dah balik rumah."

"Takpe. Esok ngah takde paper. Balik esok pun takpe. Ngah gi salin baju kejap ye."

Itu hari kedua SPM berlangsung. Paper Bahasa Inggeris memang termasuk dalam paper yang diharap dapat menyumbangkan A dalam keputusan SPM ku. Tapi, otakku 'blank' semasa menulis esei yang biasanya amat mudah bagi ku.. Sesekali, aku terlelap setelah puas memerah otak menggali semula apa yang pernah ku buat selama ini.. paper petang, Sejarah kertas 2. Seolah mengimbau kegagalanku menjawab soalan sejarah dengan baik semasa PMR, daku sekali lagi gagal memberikan jawapan bernas. Otakku ligat berfikir, mengapa otakku seolah lesu, tidak mahu berkerjasama menjawab soalan..

Usai tamat peperiksaan sejarah tersebut, daku terus bergegas ke asrama, terasa ingin meringankan segala beban yang berat sepanjang hari.. Dan, setelah daku selesai menunaikan solat Asar, baru ingin meluruskan badan di perbaringan, saat itulah Makteh ku, kakak ibundaku dari Kuantan, datang menjemputku untuk pulang ke kampung..

"Yati, aku nak balik rumah jap. Boleh tak ko tolong buatkan Tahalil untuk ayah aku lepas Maghrib ni?"

Sudah pasti, rakan-rakan yang mendengar pertuturanku itu terlopong seketika. Mereka cuba mendapatkan kepastian namun aku sendiri tidak punya jawapan kukuh walaupun hati kecilku sudah dapat meneka kepulanganku kali ini untuk apa..

Selesai urusanku memohon kebenaran dari pihak sekolah, perjalanan diteruskan. Namun begitu, sempat Pak Guard yang memang selama ini mengenali ayahanda ku mengucapkan takziah kepadaku. Mungkin dia tidak tahu bahawa daku masih belum diberitahu akan hakikat sebenar kepulanganku kali ini..

Siapa yang dapat menahan air mata ini dari mengalir? Siapa yang dapat meneka apa yang sedang berlegar-legar diruangan mataku kini? Siapa yang dapat mendengar rintihan hati yang merayu merintih menyedari akan kepulangan kali ini yang langsung kosong tiada erti??

Perjalanan selama dua jam dari Pekan ke Chenor seolah tidak terasa oleh ku. Diriku seolah hilang di perjalanan. Sesampai di halaman rumah, yang telah mula dipenuhi sanak saudara dan jiran tetangga, daku sedar yang daku perlu meneruskan langkah. melangkah masuk ke rumah, mata ku mencari kelibat mak, abang atau adikku.

"Mereka belum sampai dari KL." ujar jiranku yang daku telah hilang ingatan tentangnya. Daku terus masuk ke dalam bilik. Membelek-belek buku latihan Matematik yang sempat ku jinjit keluar dari dorm penginapanku. Daku terus menyelesaikan latihan yang masih berbaki. Satu demi satu soalan ku selesaikan. Tiba-tiba pintu bilik ku dibuka. Abang masuk dan terus memelukku.

"Takpe. Abang ada. Abang ada.." Dan air mataku tumpah lagi..

Selesai mandi, daku masih mengurung diriku di dalam bilik. Tidak ku ambil tahu akan apa yang terjadi di dalam mahupun di luar rumah. Daku terus setia dengan buku latihan matematik tersebut. Chik(ibu saudara) masuk ke bilik mengajakku untuk makan. Daku hanya mampu menggeleng kepala. Mana mungkin mulut ini dapat menerima makanan sedangkan insan yang kutunggu dari tadi masih belum tiba lagi..

Namun begitu, dua suap nasi tetap masuk ke perut ku. Itupun setelah disuap oleh Kak Su, sepupu yang tua setahun dariku. Kami memang rapat sejak kecik lantaran jarak usia yang tidak jauh. Sesudah makan, daku membawa diri ke luar bilik, meneliti segenap ruang rumah, mencari secebis memori yang tersisa di sana sini..

"Ngah dah besar nanti, nak jadi apa?

"Mestilah nak jadi doktor. Sebab tu ngah ambil Sains tulen ni Bah."

"Kenapa nak jadi doktor?"

"Dapat ubat orang sakit. Nanti kalau abah ngan mak sakit, takyah pegi hospital. Ngah boleh ubatkan sendiri.."

Perbualan anak beranak di meja makan memang banyak kenangannya. Tak syak lagi, ketegasan Abah mendidik kami agar makan bersama-sama di meja makan tanpa televisyen atau radio membawa banyak manfaat terhadap hubungan kekeluargaan..

"Kita kena belajar rajin-rajin. Kalau Abah sekarang jadi cikgu je, Ngah nanti kena jadi pensyarah ke, profesor ke, baru betol. Tak boleh kerja lebih rendah dari Abah. tu tak maju namanya.."

Itu perbualan di atas tangga selepas makan, dengan sepinggan mangga potong yang dihidangkan oleh emak. Saat itu seolah berlegar kembali tika mataku menatap ruang-ruang kosong tersebut..

"Ngah, Mak ngan Abah dah sampai. Nak sambut dorang?" Adik ku menyapa memecahkan aliran memori yang menghayutkan diri.

"Ermm.. Ngah turun ikut pintu belakang.." Jawabku lemah, menyembunyikan getaranhati dan jiwa yang bergolak dengan pelbagai persoalan dan perbalahan di minda..

Perlukah aku meluru ke arah kereta jenazah itu? Patutkah aku berdiri terus tegak di tengah rumah seperti sekarang? Atau sudah sediakah aku untuk melayangkan pandangan pada sekujur tubuh kaku itu?? Daku menggelengkan kepala beberapa kali. Masih tidak dapat menemui jawapan yang benar-benar pasti..

Lantas itu, waktu kekeliruan masih menyelubungi jiwa, sepasang tangan terus memeluk bahuku, mendorongku untuk terus melangkah ke hadapan rumah, menuruni satu persatu anak tangga menuju ke ruang tamu, terus melangkah mengharungi lautan manusia, untuk sampai ke tempat tujuan, ke arah sekujur tubuh yang telah kaku itu..

Itu Abah ku.. Itu Abah ku.. itu Abahku.. Itu Abahku..

Yaaa!! Dengan kudrat yang masih ada, kulihat Tokki ku melutut di hadapan jenazah anaknya, merintih sepi akan insan harapannya, membelai dada yang sudah hilang denyutannya, menyentuh pipi yang telah lenyap keanjalannya..

Daku terus berteleku di sisi insan yang pernah menyayangi ku itu. Air mata yang puas ku takung sejak tadi mengalir deras. Bibirku menggeletar, bahuku terus terbuai dek alunan rintihan dalam jiwaku.. Daku mengerti, menangisi suatu yang telah pergi adalah kerja sia-sia namun begitu, pemergian yang tidak dapat kurelakan saat ku amat memerlukan ini begitu merentap semangat ku. Seolah kakunya tubuh itu memberikan tanda padaku akan bekunya segala milikku selamaini..

Tangisan dan rintihanku merobek banyak jiwa yang menatap. Air mata yang kuseka dari pipi mengalirkan jutaan simpati dari hadirin. Aku insan dalam pelarian menuju destinasi kejayaan yang tiba-tiba disambar angin taufan yang merampas segala hak kesayangan sekelip mata.. Aku insan kerdil disisiMu ini masih merintih memerlukan jawapan atas segala kejadian ini Ya Rabbi..!!

"Ngah jangan risau. Abang ada untuk tanggung kita sekeluarga. Abang ada untuk jaga kita sekeluarga. Abang ada untuk kita semua. Abang ada.. Jangan terus macam ni. Redhalah.."

Kata-kata itu kudengar seolah dilaung jauh di seberang lautan. Dipertengahannya ada angin kencang yang mengaburkan penyampaian maksud kata-kata. Daku terus khayal dalam emosi kesedihan. Daku terus leka melayan pilu yang menggigit jiwa..

"Abah sentiasa ada disisi Ngah. Buat saja yang terbaik. Yakinlah Allah ada untuk kita. Yakinlah, ujian yang diturunkan hanya buat insan yang mampu menghadapinya. Yakinlah, kita amat bertuah kira diberikan dugaan yang berat.. Abah yakin, Ngah ada segala kekuatan untuk mengatasi masalah, seperti mana yang dah Ngah tunjukkan selama ini.. Abah yakin, Ngah takkan tewas pada dugaan, takkan tewas pada ujian.."

Kata-kata itu tiba-tiba menerjah kotak ingatanku. Senduku tiba-tiba hilang. Air mataku tiba-tiba kering. Daku terus menegakkan badan. Menatap terus ke wajah yang bening itu..

kulihat ada garis senyuman di wajah pucat itu. Seolah mengatakan padaku, bahawa daku akan dapat mengharungi segalanya dengan baik. Senyuman yang meyakinkanku, walaupun tanpa daku disisi Abah saat nafas terakhir yang dihembus pun, Abah masih yakin padaku, yakin pada kekuatan diriku mengharungi dugaan ini..

Tiba-tiba seperti ada tenaga baru menyusup dalam jiwaku, aku terus bangkit. Menoleh mencari emak yang kulupakan sejenak. Emak yang kulihat amat tenang. Malah sempat tersenyum melayani tetamu yang hadir mengucapkan takziah.. Kubingkas bangun meluru memeluk insan kesayanganku yang selama ini menghabiskan masanya bersama-sama suami tercinta. Pelukan ku dibalas penuh kasih oleh emak yang takkan dapat kulihat kekuatan itu dalam mana-mana wanita lain dalam hidupku.

"Ngah, Abah pergi elok.. Sakit sekejap je. Abang ngan mak ada baca Yassin. Adik dah tolong Abah bacakan syahadah.. "

"Tapi Ngah takde.."

"Takpe.. Abah tahu Ngah tengah exam.. Jangan sedih-sedih sangat. Kita doakan Abah ya.."

Lembut saja suara itu menggetarkan gegendang telinga ku. Seolah menyimbah air ke tanah yang gersang. Menyedarkan semua diriku akan apa yang seharusnya daku lakukan pada saat-saat yang pedih seperti ini.. Saat-saat getir yang hanya insan terpilih akan lalui..

Sedang daku masih mengumpul sisa kekuatan agar dapat terus bertahan, bahuku disentuh seseorang. Menoleh ke belakang, kelihatan rakan-rakan yang datang dari sekolah, menaiki bas sekolah yang hampir uzur pada waktu malam sebegini, semata-mata untuk bersama-sama denganku pada saat seperti ini..

Ketahuilah wahai rakan-rakanku sekalian, kehadiran kalian semua amat bermakna dalam memujuk hati ini agar terus kuat.. Kehadiran kalian benar-benar dapat menyentuh hati ini agar dapat terus bertahan.. Dan wahai sahabatku, daku amat menghargainya...

Malam terus berlalu.. Membawa mentari yang mengiringi sebuah cerita yang hampir sampai ke penghujungnya.. Bersemadinya seorang Abah, membawa pergi bersamanya senyuman manis yang mendamaikan, kata-kata hikmah yang menyedarkan, dan kucupan mesra yang membahagiakan..

Al-Fatihah buat Allahyarham Sabaruddin Bin Daud, (1943-2001).. Semoga kan tenang abadi disisi Nya..

^^ ^^ ^^ ^^ ^^ ^^ ^^ ^^ ^^ ^^ ^^ ^^

Sepintas kenangan, pabila dicungkil kembali, mengambil masa hampir seminggu untuk dihamparkan di lembaran ini.. Bukan cuba untuk meraih simpati, jauh sekali ingin menagih kasihan.. Sekadar ingin berkongsi perasaan hati, apa yang terjadi, bila kehilangan seorang Abah..

Buat insan lain yang masih punya Abah, atau Ayah, atau Papa mahupun Daddy atau Walid sekalipun, hargai dia, hormati dia, gembirakan dia, buatlah segalanya untuk dia, kerna pabila sampai masanya, hanya Allah berhak atasnya...

tata

No comments:

Post a Comment

Tak perlu Disangkal lagi..

Pink Diamond), url(Pink Diamond), auto;}